Lelaki yang bergelar suami!
Bahan bacaan untuk lelaki yang mempunyai peranan sebagai suami. Bacalah. Moga Allah merezekikan kalian membaca sehingga habis. Aaamen.
Diam tak diam dah 20 tahun saya terlibat dalam bidang kaunseling keluarga dan rumahtangga. Ada masa suka dan ada masa duka. Ada masa saya pun perlukan kaunselor dan ada masa kaunselor lain perlukan saya. Begitulah.
Saya melihat tentang perubahan dunia keluarga dari mula sehingga terkini. Banyak betul perubahan ketara dari yang baik kepadalah yang sebaliknya.
Daripada pengalaman ini saya ingin bercerita tentang lelaki yang dihormati iaitu suami. Dihormati bukan sekadar disayangi. Dihormati kata, nasihat dan juga teguran. Malah jika mahu poligamipun isterinya redha bukan kerana hati tak terluka tetapi tahu hidupnya sebagai isteri pertama tidak akan dipersia kerana keperibadian dan iman suami yang telah dibuktikan.
Dalam kerjaya saya, berjumpa ramai suami yang dihormati isteri yang terdiri daripada pelbagai lapisan kedudukan adalah satu kebiasaan. Jika dunia menyatakan suami yang kaya boleh membawa bahagia dan membeli penghormatan, maka media itu begitulah salahnya.
Suami yang dihormati tidak semestinya kaya, ternama, berpangkat, memandu kereta mewah, fasih berbahasa, terbang ke pelbagai negara ataupun sebagainya.
1. Lelaki ini mengerjakan SOLAT. Solat bukan sebagai kebiasaan tetapi tanggungjawab kepada diri dan Allah Penguasa Sekalian Alam. Menuju masjid dalam susah dalam senang. Tiada di rumah, tiada di tempat kerja, makanya cari dia di masjid atau di majlis ilmu. Itulah cirinya. Ciri yang ada dalam setiap suami yang dihormati. Tiada ciri ini, maka ciri lain sukar menyusur.
2. Lelaki ini sabar. Sabar pada kebanyakkan masa. Tidak menonjol sifat Hang Tuahnya. Sabar bila bercakap. Sabar menghadapi isteri yang kadangkala menguji diri. Sabar dengan anak-anak yang dah tentulah ada masanya lupa diri. Kepada lelaki yang kebanyakkan masanya marah-marah. Maaflah jika isteri tengokpun menyampah. Mungkin isteri tak luah sebab isteri takut Hang Tuah. Di kedai makan marah, di rumah marah, dalam kereta menyumpah seranah, maka bagaimalah mahu meraih hormat!
3. Lelaki ini adalah lelaki yang provide secara maksimum untuk keluarga. Pemurah kepada belanja ibubapa dan keluarga. Hasil titik peluhnya yang tak seberapa (mungkin) semuanya untuk keluarga. Yang kaya pula pastikan keluarganya mewah dengan hasil pekerjaannya. Sehinggakan jika dia berbelanja untuk saudara mara, isterinya sendiri membantu menghulur kerana pada dia, ini lebihan daripada belanja.
4. Lelaki ini tahu tanggungjawabnya. Tiada yang rahsia. Slip gajinya dan semua akaun adalah di bawah pengetahuan isterinya sebagai pemegang saham yang sama dalam rumahtangga. Jangan bimbang tuan, kebaikan dan iman tuan adalah sebagai perlindungan. Jika tuan suami yang beriman, Allah akan hantar juga isteri yang beriman. Wang tuan tak akan disalahgunakan.
5. Lelaki ini jujur. Tiada putar belit dalam bahasanya. Keluarga adalah priority. Bila mahu buat sebarang perancangan, keluarganya akan didahulukan. Kawan hanya ada bila masa terluang bukan meluang masa untuk kawan dengan mengenepikan keluarga.
6. Di rumah lelaki ini berfungsi sebagai orang yang menyumbang. Bila di rumah semua penghuni rasa aman kerana perlindung keluarga ada di dalam rumah yang dimesrakan.
7. Adil dalam membuat pertimbangan. Semua cadangan dan teguran diberikan penuh hikmah dan kasih sayang. Tiada kaki atau tangan yang naik ke badan.
8. Lelaki ini disayangi anak-anak dan dijadikan tempat bermanja. Ayah adalah perkataan yang sentiasa di tanya bila tiada dan panggilan yang kerap bila ayahnya berada di sekitar hidupnya.
Begitulah antara ciri-ciri suami yang dihormati yang saya perasan. Jika ada pada badan tuan, Alhamdullilah. Jika tiada, teruskan pencarian. InsyaAllah, akan jumpa dengan usaha dan keyakinan.
Kita semua pendosa di lain jabatan. Dosa tetap ada tetapi Allah lihat usaha dalam penambahnaikan.
by Normaliza Mahadi
No comments:
Post a Comment